Monday, April 20, 2015

Beli Rumah atau Sewa Rumah?



Alhamdulillah. Proses beli rumah kedua kami sudah selesai. Boleh refer post sebelum ni di sini dan sini. Urusan renovate, cat, masuk perabot pun dah selesai. Urusan kemasukan penyewa pun dah selesai. Kami penuhkan dengan perabot dan barangan elektrik asas untuk tingkatkan value sewaan.







Tapi yang belum selesai, setiap kali balik kampung, selain dari soalan cepumas tentang anak dan belajar, soalan terbaru adalah tentang rumah. Kenapa tak beli rumah dekat Johor? Kenapa beli rumah dekat Melaka? Kenapa sewakan, tak duduk sendiri? Mungkin kami tak sama macam anak mak cik. Dapat kerja bagus, terus buat loan maksimum untuk beli rumah impian. Tapi bukan kami. Sebabnya?

Jana Pendapatan dengan Beli Rumah (dan disewakan)

Dulu kami memang masih berkira2, terfikir2 nak membeli / menyewa atau beli dan duduk / beli dan sewakan. Tapi bila dikira dari sudut pelaburan, beli dan duduk sendiri itu tak berbaloi. Rumah impian kita biasanya harganya mahal. Kalau terlalu gopoh membeli, ‘kekayaan’ kita akan tersekat. Kita menanggung hutang besar yang tak bagi apa-apa pulangan. Betul, ada yang kata rumah adalah aset. Tapi pada kami, jika rumah yang kita duduki perlukan pengeluaran duit (ansuran bank dibayar setiap bulan, belum termasuk kos maintenance dan pelbagai cukai), maka ia bukanlah aset tetapi liabiliti.

Walaupun kami berhutang untuk membeli, hakikatnya kami sudahpun memiliki dua aset tanpa menggunakan duit poket sendiri. Rumah yang dibeli sekarang mempunyai ansuran bank RM700 dan disewakan RM900, maka kami ada positive cashflow RM200 sebulan! Ini belum termasuk positive cashflow dari rumah sewa pertama, RM250! InsyaAllah rumah pertama (kos murah) tu akan habis bayar pada tahun hadapan. Dan jumlah sewaan yang kami dapat (RM450) tu dah cukup untuk tampung kos sewa rumah yang kami duduk di JB sekarang (RM300). Rumah flat 3 bilik, cukuplah sementara kami duduk berdua sekarang ni.

Rumah Penjara Kewangan

Disebabkan saya pun belum bekerja dan hubby pula bekerja swasta, kami tangguhkan untuk membeli rumah sendiri untuk kebebasan bergerak. Contohnya jika tiba2 saya dapat tawaran bekerja atau hubby dapat tawaran kerja dengan gaji lebih baik, maka yang manakah mahu dipilih?

1. Pindah ke tempat baharu dan sewakan rumah lama? Macam mana kalau disewakan tapi tak boleh cover ansuran bank? Itu belum cerita dengan kos yang dah dikeluarkan untuk renovate rumah tersebut menggunakan personal loan. atau...

2. Mungkin kita sanggup berpenat2 berulang-alik dari tempat kerja ke rumah dan berhabis beratus-ratus untuk minyak dan tol? atau...

3. Lupakan sahaja tawaran kerja tersebut jika ianya tidak berbaloi dengan tambang minyak dan tol.

Rasanya dalam kedudukan kami sekarang, lebih baik menyewa dan gunakan duit yang ada untuk pelaburan (hartanah). Rumah boleh jadi liabiliti (beban kewangan), dan rumah juga boleh jadi aset kepada kewangan. Beli rumah untuk kediaman sendiri itu memang best, tapi jangan bangga mengatakan ianya adalah aset selagi ianya tidak menambah kewangan kita. Dan kami tak mahu terburu-buru beli rumah idaman seolah-olah akan tua dan pencen di sini. Kami dah ada tapak rumah masing2 di Melaka dan Segamat.

Saya bukanlah orang yang hebat nak bercerita tentang hartanah, tapi berpandu kepada otai2 hartanah dan insyaAllah kami dalam proses permulaan untuk menyimpan hartanah (rumah/tanah) sebagai aset. InsyaAllah. Hakikatnya, membeli atau menyewa, kita hanya perlukan tempat perteduhan sementara di dunia.

Kredit: Artikel ini diolah dari idea dari sini: Beli atau Sewa Rumah, Mana Lebih Berbaloi. Nak tahu lebih boleh klik untuk artikel 2 Kerugian Beli Rumah Paling Mampu dan Beli Rumah Tanpa Hutang




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...