Friday, December 23, 2011

Kenapa Dah Sembahyang Tapi Tak Juga Kaya?


Ok jom sambung segmen Ilmiah di pagi Jumaat ni. Nak tanya lah, kenapa kadang kala kita lihat seseorang tu sentiasa dapat kegembiraan seperti dapat naik pangkat, rumah tersergam indah, kereta mewah menjalar sedangkan dia tu selalu melakukan kemungkaran? 





Tetapi mereka yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain, tapi hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa?

Nanti... jangan terus membuat kesimpulan! Bersangka baiklah kepada Allah. Sebenarnya, pemberian nikmat Allah kepada manusia yang melakukan maksiat dan kejahatan adalah pemberian yang tidak diredhaiNya. Tetapi pemberian nikmat Allah kepada hamba yang dikasihiNya adalah pemberian yang diredhai. Inilah yang dinamakan ISTIDRAJ.

Rasullulah S.A.W. bersabda :

"Apabila kamu melihat bahawa Allah S.W.T memberikan nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah S.W.T."

(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadatpun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku”, katanya sombong. Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.

Rasullulah S.A.W bersabda: 

"Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya".

 (Kitab Nasaibul æIbad)

Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat (sayap), dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah S.W.T.

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, namun Firaun masih belum juga mati, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya Tuhan. Tetapi dengan nikmat itu jugalah Allah binasakan dia.

Jadi, jika fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?

Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan dan mengabdikan diri kepada Allah bukanlah istidraj. 

Oleh itu, janganlah kita menolak kekayaan, juga bukan mencari kemiskinan. Yang penting adalah tujuan hidup untuk mencari keredhaan Allah. 

Rasullulah S.A.W bersabda: 

"Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan bekerjalah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari". 

(Riwayat Ibnu Asakir)

Kesimpulannya, sentiasalah bersyukur dengan setiap rezeki yang Allah kurniakan dan gunakanlah pemberian Allah ke jalan kebaikan dengan redha dan ikhlas. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.

Wallahualam.






artikel diperoleh dari email dan diolah 

Thanx for reading 







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...